Strategi Untuk Merangsang Bahasa Anak

 

Oleh: Aina Sofia Binti Shaharim - Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Bahasa



Seringkali kita mendengar keluhan atau kerisauan ibu bapa zaman kini yang mempunyai anak berumur dalam lingkungan 1 tahun ke 2 tahun, yang mempunyai masalah lambat bercakap atau language delay. Secara teorinya atau berdasarkan milestone perkembangan pertuturan, kanak-kanak seawal 1 tahun sepatutnya boleh menghasilkan 1 perkataan yang bermakna, contohnya ‘mama’ atau ‘susu’. Kemudian, apabila anak tersebut mencecah umur 2 tahun, sepatutnya mereka boleh menggabungkan 2 perkataan menjadi 1 ayat, contohnya ‘nak susu’ atau ‘adik tidur’. Antara faktor kanak-kanak mempunyai masalah lambat bercakap, selain faktor kesihatan atau genetik, adalah faktor kekurangan rangsangan atau stimulasi bahasa daripada persekitaran.

Terdapat beberapa strategi yang sering dilakukan oleh pegawai pemulihan pertuturan dan bahasa atau speech-language therapist semasa sesi terapi untuk merangsang perkembangan bahasa kanak-kanak seperti self-talk, parallel talk, expansion, extension dan repetition. Strategi tersebut boleh dilakukan di rumah oleh ibu bapa pada bila-bila masa untuk membantu merangsang perkembangan bahasa anak-anak.


Strategi 1: Self-talk.


Self talk atau bercakap sendiri adalah satu strategi di mana kita menceritakan aktiviti yang sedang kita lakukan kepada anak. Sebagai contoh, ketika kita sedang melipat pakaian, kita boleh ceritakan perbuatan kita kepada anak ‘ibu lipat baju’, ‘ni baju ayah’, ‘wah baju merah’. Situasi seterusnya, ketika makan bersama anak, ‘ibu makan nasi’ ‘yum yum yum’ ‘ibu minum air’. Mungkin pada tempoh awal, ibu bapa akan merasa sedikit kekok atau janggal untuk melakukan strategi ini, tambahan pula anak tidak meberi respons atau tidak mengendahkan percakapan kita. Jangan risau, anak anda mendengar dan mereka juga sedang memproses stimulasi bahasa yang anda telah berikan

Strategi 2: Parallel-talk


Parallel-talk atau bercakap seiringan bermaksud kita pula menceritakan apa yang sedang dilakukan atau aktiviti yang dijalankan oleh anak ketika itu. Sebagai contoh, ketika kita bermain masak-masak dengan anak, ‘adik potong ikan’, ‘wah adik kacau sayur’. Secara tidak langsung, kita telah memberi input bahasa kepada anak dan hal ini sangat efektif dalam pembelajaran bahasa kerana anak sedang memberi tumpuan terhadap satu benda atau objek yang sama, seiring dengan stimulasi bahasa yang kita telah berikan.

Strategi 3: Expansion



Expansion atau mengembangkan bermaksud kita mengembangkan ayat anak tanpa menambah maklumat baru. Dalam kata lain, kita memperbetulkan ayat anak yang tidak lengkap. Sebagai contoh, anak sebut ‘nak akan sik’ dan dengan menggunakan teknik expansion kita perlu mengembangkan ayat tersebut seperti ‘nak makan nasi’. Berdasarkan strategi ini, secara tidak langsung kita telah memberikan immediate feedback atau pembetulan secara segera kepada anak, justeru membantu pembelajaran bahasa yang lebih efektif.

Strategi 4: Extension


Extension atau memanjangkan adalah salah satu strategi di mana kita memanjangkan ayat anak dengan menambahkan maklumat baru seperti tambahan adjektif. Sebagai contoh, anak sebut ‘main keta’ dan kita boleh membalas dengan ‘wah adik main kereta merah’. Dengan menggunakan strategi ini, kita dapat menambahkan kosa kata atau vocabulary anak.

Straregi 5: Repetition



Repetition atau pengulangan boleh dilakukan dengan cara mengulang perkataan atau target word, berulang kali dalam satu masa. Tetapi, perlu diingatkan bahawa teknik pengulangan perkataan ini bukan lah seperti berzikir. Sebagai contoh, target word yang ingin dirangsang adalah ‘makan’ dan situasi yang diberikan adalah ketika bermain masak-masak dengan patung. Pengulangan target word ‘makan’ boleh dilakukan seperti ‘jom makan kek’, ‘alamak, patung lapar lah, patung nak makan juga’, ‘bagi patung makan kek’, ‘sedapnya makan kek’. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa kanak-kanak perlu mendengar satu perkataan berulang kali untuk supaya perkataan itu dapat diproses dan disimpan dalam lexicon atau kamus kota kasa mereka.

Kesimpulannya, stimulasi dan rangsangan bahasa kepada kanak-kanak ketika usia muda amat penting untuk memastikan mereka mencapai language milstone yang seiringin dengan usia mereka. Untuk pertanyaan lebih lanjut tentang strategi rangsangan bahasa, anda boleh menghubungi speech-language therapist di mana-mana hospital atau pusat terapi yag terdekat.

Rujukan:

  • Kaderavek, J. N. (2011). Language disorders in children: Fundamental concepts of assessment and intervention. Pearson
  • Izyan Zamri. (2020). 6 Teknik Untuk Merangsang Bahasa & Percakapan Anak. Retrieved January 11, 2021, from https://rootofscience.com/blog/2020/perkembangan-kanak-kanak/teknik-merangsang-bahasa-anak/

Comments

Popular posts from this blog

Penyakit Kencing manis dan kerosakan saluran darah kaki

PANDUAN RINGKAS BATU PUNDI HEMPEDU (GALL STONE)

Piramid Komunikasi