PUASA DAN UBAT
By Pharmacy Services, KPJ Penang Specialist Hospital.
Puasa
Puasa adalah
amalan yang biasa dilakukan oleh semua masyarakat termasuk masyarakat Barat.
Antara sebab seseorang individu melakukan puasa adalah kerana tuntutan ibadah,
kesihatan dan penyucian diri. Terdapat pelbagai kaedah puasa yang boleh
dilakukan sama ada puasa selama beberapa jam atau sehari dan puasa yang
menyekat pengambilan sesetengah jenis makanan.
Bagi umat Islam,
puasa adalah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan
puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari dengan
disertakan niat. Ini termasuk puasa wajib di bulan Ramadhan atau puasa sunat di
hari-hari yang lain.
Hukum Puasa Untuk Pesakit
Setiap orang
Islam yang akil baligh adalah diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Namun
begitu, terdapat kelonggaran untuk orang yang sakit untuk meninggalkan ibadah
ini dan digantikan dengan puasa di hari yang lain. Namun jika pesakit ini
disahkan tiada harapan untuk sembuh, pesakit dibenarkan membayar fidyah sebagai
ganti untuk puasa yang ditinggalkan.
Penggunaan Ubat, Alat atau Prosedur Semasa Berpuasa
Secara umumnya
apabila berpuasa, kita perlulah mengelakkan memasukkan sesuatu ke dalam ruang
yang terbuka seperti hidung, mata, telinga, saluran kencing dan dubur melebihi
had yang ditetapkan.
Walau
bagaimanapun, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia telah menetapkan penggunaan beberapa ubat dan prosedur
yang dibenarkan dan tidak membatalkan puasa:
- Menggunakan ubat titis mata, telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak melebihi gegendang telinga)
- Tablet sublingual yang diletakkan dibawah lidah dan tidak ditelan.
- Ubat kumur (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan.
- Ubat semburan hidung tanpa disedut.
- Melakukan tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi dan memberus gigi tanpa menelan apa-apa bahan daripada prosedur tersebut.
- Semua jenis suntikan melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah
- Pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.
- Ubat jenis sapu (krim atau salap), balutan dan plaster pada permukaan kulit.
- Memasukkan tiub kateter melalui saluran darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaaan jantung.
- Pemeriksaan laparoskop iaitu pemeriksaan bahagian dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen.
- Prosedur biopsi untuk pengambilan spesimen atau cebisan daripada anggota badan.
- Rawatan bius setempat atau separuh.
- Prosedur memasukkan semula
kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
Namun, prosedur
atau pengambilan ubat berikut boleh membatalkan
puasa:
- Pengambilan
ubat makan jenis biji, kapsul dan ubat minum.
- Penggunaan
alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau penyakit kronik
paru-paru.
- Memasukkan
tiub kecil atau ubat faraj (pesari) termasuk prosedur cucian dan
pemeriksaan dalaman vagina wanita.
- Memasukkan
sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau
ubat pencuci yang dimasukkan saluran kencing lelaki atau wanita.
- Penggunaan
alat seperti enema, tiub supositori, teropong protoscope atau jari pegawai
perubatan yang dimasukkan ke dalam rektum (dubur) untuk pemeriksaan.
- Penggunaan
teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gastroscope) untuk tujuan
pemeriksaan sistem penghadaman.
- Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan gas.
Penggunaan Inhaler Semasa Berpuasa
Terdapat beberapa jenis inhaler yang boleh diklasifikasikan kepada
jenis aerosol atau jenis debu. Inhaler jenis aerosol adalah seperti evohaler
(Ventolin, Flixotide, Seretide) dan metered
dose inhaler yang lain. Inhaler jenis debu pula seperti Turbuhaler (Symbicort,
Pulmicort), Accuhaler (Seretide) dan Easyhaler.
Inhaler
digunakan sebagai pelega dan juga sebagai pencegah untuk penyakit asma dan
penyakit kronik paru-paru. Terdapat dua pendapat mengenai batal atau tidak
puasa dengan penggunaan inhaler. Pendapat
pertama menyatakan batal kerana bahan daripada inhaler yang masuk ke perut
melalui mulut (rongga terbuka).
Pendapat kedua
menyatakan sebaliknya. Ini kerana semasa penggunaan inhaler, cecair yang
memasuki perut adalah amat sedikit dan diqiyaskan kepada berkumur dan istinsyaq
(memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih menyatakan bahawa pengguna semua inhaler termasuk yang berbentuk debu adalah tidak membatalkan puasa. Ini berdasarkan kepada penggunaan inhaler adalah untuk saluran pernafasan dan bukan ke saluran makanan. Debu yang digunakan didalam inhaler debu adalah terlalu sedikit dan tidak ubah seperti debu-debu yang memasuki melalui pernafasan.
Pengambilan Ubat Semasa Puasa
Puasa bukanlah
penghalang untuk pesakit meneruskan rawatan terutama untuk rawatan penyakit
kronik. Pesakit seharusnya peka kepada kesihatan diri dan bersedia untuk
berbuka bila perlu. Pesakit ditegah untuk berhenti mengambil ubat terutama
untuk pesakit kencing manis, darah tinggi dan asma kerana dibimbangi komplikasi
yang akan timbul.
Pesakit yang
masih perlu mengambil ubat, dinasihatkan berjumpa doktor atau ahli farmasi
untuk menentukan rawatan di bulan puasa. Berikut adalah panduan umum untuk
perubahan waktu mengambil ubat:
Untuk
pengambilan insulin pesakit kencing manis biasanya adalah seperti berikut:
Pesakit kencing
manis perlu peka kepada tanda hipoglisemia (paras gula terlalu tinggi) yang
mungkin terjadi. Antara tanda-tanda hipoglisemia adalah:
●
Mengantuk
atau terlalu lemah
●
Amat lapar
●
Menggigil
atau menggeletar
●
Peluh
dingin
●
Keliru/gangguan
emosi/resah/gelisah
●
Pening atau
mudah pitam
Tanda-tanda
hiperglisemia (paras gula terlalu tinggi) adalah seperti:
●
Sangat
dahaga
●
Kerap
membuang air kecil
●
Sangat
letih
Segera berbuka
apabila anda mengalami tanda-tanda hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi
kerana boleh membawa mudarat. Segera berjumpa doktor jika tanda-tanda ini
berterusan atau semakin teruk.
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Panduan Berpuasa bagi Pesakit. 2013
- Madani, Abu Anas. Hukum Penggunaan Inhaler, Accuhaler
dan Alat Perubatan Lain Ketika Puasa, 14 Julai 2013.
https://www.abuanasmadani.com/hukum-penggunaan-inhaler-accuhaler-dan-alat-perubatan-lain-ketika-puasa/
- Mahbub, Atika.
Puasa dan Ubat, Portal myhealth. 16 Mei 2019.
Comments
Post a Comment